Posted on

3 Sebab Penting Mengapa Harus Skip Senaman – Waspada!

 

Berapa kali kita menggunakan alasan-alasan yang sama untuk tidak bersenam? Atau sekurang-kurangnya skip untuk satu hari? Terlalu letih, terlalu sibuk, terlalu lapar atau tiada mood, ini semua seringkali dijadikan halangannya. Namun ramai juga yang boleh bersenam dengan mengatasi halangan tersebut, bukan? Walau bagaimanapun, terdapat beberapa situasi di mana anda MESTI skip sesi senaman.

 

Anda Sedang Sakit

Rasa tak sedap badan, demam, batuk, selesema, dehidrasi dan kelesuan, ini semua adalah antara sebabnya mengapa anda harus skip senaman. Apabila mengalami demam, suhu badan sememangnya sudah tinggi, ditambah lagi dengan senaman, keadaan anda akan menjadi lebih teruk. Semasa sakit, anda juga akan cenderung untuk kehilangan air disebabkan oleh peluh, batuk atau bersin. Jika anda bersenam ketika sakit, anda akan kehilangan lebih banyak air. Jangan rasa bersalah untuk skip senaman dalam situasi sebegini, lebih baik gunakan masa tersebut untuk berehat.

 

Sakit Otot Yang Keterlaluan

Sakit otot (soreness) biasanya berlaku setiap kali anda mencuba senaman yang baru atau kembali ke rutin senaman setelah lama berehat. Tetapi kadangkala sakit otot tersebut keterlaluan sehinggakan setiap pergerakan kecil yang dilakukan menyebabkan rasa sakit. Jika anda berada dalam situasi sedemikian, anda wajib mengambil masa rehat, terutamanya apabila;

  • Setiap pergerakan menyebabkan rasa sakit
  • Julat pergerakan anda menjadi terhad disebabkan rasa sakit
  • Otot rasa sakit apabila disentuh

Mungkin juga otot akan bertambah sakit, meskipun anda telah berehat sehari. Jika ia berlaku, anda perlu berehat satu hari lagi. Jika anda berhati kental, pakar mengesyorkan senaman berintensiti rendah untuk 1-2 hari. Ataupun, anda boleh lakukan senaman yang tidak melibatkan otot yang sakit.

 

Anda Kekurangan Tidur

Jika anda kurang tidur, mungkin anda gunakan senaman untuk menjadikan anda lebih bertenaga, disamping bergelas-gelas kopi. Namun begitu, anda harus berwaspada jika anda sudah berhari-hari kekurangan tidur dan mengalami simptom seperti;

  • Prestasi senaman merosot
  • Kesukaran untuk fokus
  • Rasa lenguh dan lesu

Jika anda teruskan senaman, anda akan terdedah kepada kecederaan kerana kurang tumpuan dan kelesuan badan. Dalam situasi ini, sebenarnya anda memerlukan tidur, bukannya senaman.

 

Entri: Tini Lorna Lim