Medofu Kitchen

Log In

Terdapat segelintir individu yang berpendapat bahawa bersenam dengan perut kosong mensasarkan pembakaran lemak yang lebih banyak.

Tidak semestinya.

Walaupun anda menggunakan lebih banyak lemak sebagai tenaga, bukan bermakna lemak sedang disingkirkan daripada tubuh anda. Proses pembakaran lemak adalah lebih kepada pembakaran kalori, bukan jenis tenaga yang digunakan semasa bersenam. Samada perut kosong atau tidak, jumlah kalori yang dibakar semasa latihan cardio tetap sama.

Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam National Strength and Conditioning Journal, penulisnya, Brad Schoenfeld menyatakan bahawa bersenam dengan perut kosong akan mengurangkan simpanan protein dalam tubuh sehingga 10.4 %. Jika anda sedang membina otot, ini adalah satu kehilangan besar. Katanya lagi, secara amnya, semakin banyak jumlah karbohidrat yang dibakar sewaktu bersenam, kadar pembakaran lemak selepas sesi senaman juga akan meningkat.

Akhir sekali:

Sekiranya anda bersenam dalam keadaan perut kosong dan lapar, tubuh akan cepat rasa letih dan akhirnya anda tidak dapat memberikan 100% fokus terhadap sesi senaman.

Jadi, apakah manfaat makan sebelum bersenam?

  • Meransang proses pemulihan otot selepas bersenam
  • Membantu anda bertahan lebih lama, terutamanya semasa intense workout.
  • Mengekalkan kandungan gula dalam darah kerana jika ia berkurang, anda akan mula rasa pening atau mual.

Sebaik-baiknya pre-workout snek menggabungkan karbohidrat dan protein. Walau bagaimanapun, buahan-buahan (pisang, epal dan lain-lain) mentega kacang, oat, Greek yogurt, energy bar dan kekacang juga merupakan pilihan snek yang baik.

Perlu diingatkan juga bahawa anda harus memberi masa untuk tubuh anda menghadam makanan sebelum bersenam. Lebih besar saiz hidangannya, lebih lama masa yang diambil. Contohnya snek ringan yang mengandungi 100-200 kalori akan mengambil masa kira-kira sejam untuk dihadam. Tapi jangan pula sampai terlebih makan. Selain daripada risiko terlebih kalori, makan terlalu berat akan menimbulkan rasa tidak selesa dan ini akan mengganggu sesi senaman anda.

Namun, terdapat juga mereka yang lebih selesa melakukan latihan kardio dengan perut kosong. Mungkin sistem ini berkesan bagi mereka. Tetapi cara ini kurang efektif untuk strength training kerana ia memerlukan lebih banyak tenaga. Anda akan cepat letih dan intensiti senaman pun akan berkurangan. Jika anda memang jenis orang yang biasa bersenam di waktu pagi tetapi tidak biasa bersarapan, sekurang-kurangnya makanlah sebiji pisang, sesudu mentega kacang atau gabungkan kedua-duanya. Dan jangan lupa minum air. Walaupun ringkas, ia tetap akan memberikan kesan positif terhadap sesi senaman anda.

Entri: Tini Lorna Lim