Pasti anda pernah mendengar tentang cabaran 10,000 langkah sehari. Sebenarnya idea ini bermula di Jepun. Walaupun angka 10,000 itu bukanlah angka keramat tetapi ianya satu penanda aras yang sangat baik bagi menentukan tahap aktiviti seseorang.
Kebanyakan program menurunkan berat badan menyarankan pembakaran sebanyak 200-300 kalori dengan melakukan senaman berintensiti sederhana dan tinggi. Tetapi dengan berjalan 10,000 langkah sehari—termasuklah 3000 langkah berjalan pantas atau berjoging, anda akan membakar jumlah kalori yang lebih kurang sama.
Namun begitu, ia juga akan bergantung kepada berat badan dan kelajuan langkah anda. 2000-2500 langkah lebih kurang sama dengan jarak 1 batu. Berjalan kaki sehingga 1 batu jaraknya akan membakar lebih kurang 80 kalori bagi individu yang beratnya 150 paun (68 kg).
Berjalan 10,000 langkah sehari akan membakar sehingga 250-600 kalori, bergantung kepada berat badan anda. Sekiranya anda berminat untuk menyahut cabaran ini, anda harus tetapkan masa lebih kurang 30-60 minit untuk mencapai angka 10,000.
Bagaimana pula jika anda sudah biasa berjalan 10,000 langkah sehari tetapi berat tetap sama atau naik pula? Cuba tambahkan 2000 langkah lagi. Sekiranya tambahan 2000 langkah ini mengambil masa yang lebih lama dan anda hanya mempunyai masa yang singkat untuk bersenam, cuba tambahkan intensiti pula. Kalau sebelum ini anda berjalan kaki dengan langkah biasa, cepatkan langkah atau selang-selikan dengan aktiviti berlari. Ataupun, cari laluan berumput atau berbukit untuk lebih cabaran.
Akhir kata:
Aplikasi pedometer yang membantu mengira jumlah langkah pun semakin banyak. Muat turun salah satu daripadanya ke dalam telefon pintar anda. Jadi tidak perlulah anda susah payah mengiranya sendiri. Semoga berjaya!
Entri: Tini Lorna Lim