Medofu Kitchen

Log In

Walau apapun matlamat kecergasan anda, kecederaan sudah tentu bukan salah satu daripadanya. Namun, menurut satu kajian daripada University of Arkansas, kes kecederaan akibat latihan bebanan dan peralatan senaman menunjukkan peningkatan sehingga 35% dalam tempoh 2 dekad (1978-1998), dan angka tersebut kian meningkat.

Menggunakan ais adalah langkah pertolongan cemas yang tepat bagi mengurangkan rasa sakit dan bengkak. Mengapa mesti gunakan ais? Rawatan pertolongan cemas R.I.C.E (Rest, Ice, Compression, Elevation) telah menjadi prosedur standard yang digunakan secara universal sejak berdekad lamanya. Walau bagaimanapun, cara penggunaan ais tersebut yang akan menentukan keberkesanan rawatan. Jadi, elakkan 5 kesilapan yang berikut, tidak kiralah samada anda yang merawat ataupun yang dirawat.

 

Ais Diletakkan Terus ke Permukaan Kulit

Silap haribulan boleh kena frostbite dan merosakkan tisu-tisu lembut di bahagian kulit. Hal ini kerana, ais boleh menyekat peredaran darah jika dibiarkan terlalu lama, dan risiko ini akan meningkat sekiranya ais tersebut diletakkan direct ke atas kulit. Terdapat dua cara yang boleh dilakukan mengikut situasi anda. Pertama, bungkus ais dengan tuala sebelum meletakkannya ke atas kulit. Jika tiada tuala, letakkan ais ke dalam plastik dan tuangkan sedikit air.

 

Membiarkan Ais Terlalu Lama

Seperti yang telah disebutkan tadi, ais yang dibiarkan terlalu lama boleh mengundang bahaya kerana peredaran darah yang tersekat akibat saluran darah yang mengecil. Selain itu, ia juga akan melambatkan proses penyembuhan. Masa yang paling ideal untuk rawatan ais ialah sebaik sahaja kecederaan berlaku. Tidak perlu tunggu, jika ada ais berhampiran anda, terus letak. Untuk lebih efektif, terhadkan masa kepada 10 minit sahaja. Biarkan tisu-tisu lembut untuk warm up seketika (lebih kurang 5 minit) sebelum meletakkannya semula. Ais sepatutnya tidak diperlukan lagi selepas tempoh 24 jam, melainkan atas saranan doktor.

 

Tidak Berehat

Anda harus merehatkan sendi atau otot yang tercedera walaupun setelah dirawat dengan ais, dan rasa sakit telah pun berkurangan. Jika tidak direhatkan, proses penyembuhan akan menjadi lambat dan hanya akan membawa masalah kelak. Rujuk kepada doktor mengenai tempoh berehat yang diperlukan untuk kecederaan tersebut.

 

Tidak Mengangkat Bahagian Yang Tercedera

Bagi mengurangkan bengkak, bahagian yang tercedera perlu diangkat dan ditopangkan dengan bantal atau apa sahaja. Sebaik-baiknya ia diangkat lebih tinggi dari jantung (dalam keadaan bersandar atau berbaring) untuk meningkatkan peredaran darah. Jika tidak diangkat, rasa sakit akan berkurangan tetapi bengkak takkan surut.

 

Tidak Cukup Mampat

Menggunakan compression wrap akan menjadikan rawatan lebih efektif kerana ia akan membantu mengurangkan bengkak. Jika bahagian yang tercedera tidak dibalut dengan wrap, bengkak akan naik semula dan pengurangan sakit juga tidak begitu ketara.

 

Entri: Tini Lorna Lim