Medofu Kitchen

Log In

Salah satu bahagian yang cenderung untuk menyimpan lemak berlebihan ialah di bawah lengan. Apabila melambaikan tangan, ia pun ikut melambai sekali. Otot bawah lengan kita dipanggil otot triseps. Bukan mudah mengatasi lemak bawah lengan dan latihan khusus juga tidak akan menjadi. Dalam erti kata lain, anda tidak boleh melakukan senaman triseps dengan harapan lemak bawah lengan akan berkurangan. Hal ini kerana, kita menggunakan tenaga daripada keseluruhan tubuh semasa bersenam, bukan daripada otot yang difokuskan semata-mata.

 

Langkah pertama yang anda harus lakukan ialah fokus kepada pengurangan lemak tubuh secara keseluruhannya dengan bersenam dan diet yang sihat. Tiada jaminan bahawa lemak bawah lengan anda akan berkurangan dengan serta merta. Yang penting, biarkan tubuh anda bertindak balas dengan program senaman dan bersabar.

 

Sebahagian daripada proses tersebut juga ialah latihan kekuatan otot untuk triseps dan seluruh tubuh anda. Senaman triseps tidak mengurangkan lemak tetapi, ia akan membantu anda membina otot. Peningkatan jisim otot triseps bermaksud otot anda bertambah kuat dan kental, dengan kadar metabolisme yang lebih tinggi berbanding sebelumnya (ia akan membantu dalam proses pengurangan lemak).

 

Sekiranya anda mahu mengatasi lemak bawah lengan dan tone-up otot triseps, anda perlu fokus kepada;

 

Senaman Kardio

Lakukan latihan kardio dengan mensasarkan zon denyutan jantung. Anda juga boleh memasukkan 1-2 sesi latihan HIIT ke dalam rutin senaman anda. Latihan sebegini akan memaksa anda keluar daripada zon selesa (dalam masa yang singkat) dan membantu anda membakar lebih banyak kalori semasa dan selepas bersenam.

 

Latihan Kekuatan Otot

Bukan untuk otot triseps sahaja, tetapi kesemua otot tubuh anda. Sasarkan 1-3 hari seminggu untuk latihan kekuatan otot. Jika anda baru sahaja bermula, lihat senaman kekuatan yang anda boleh cuba di sini.

 

Diet Rendah Kalori Yang Sihat

  • Catitkan segala yang anda makan dan minum di dalam diari makanan atau buku nota anda.
  • Semasa berdiet, kadangkala anda mengidam makanan yang berkalori tinggi. Jangan biarkan ini menjejaskan usaha anda. Gantikan makanan tersebut dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan lain yang mengandungi khasiat fiber dan kaya dengan nutrien penting. Ataupun, minum sahaja air kosong.
  • Sentiasa jaga saiz hidangan anda, pastikan tidak berlebihan.
  • Bersabar dan berikan tubuh anda masa untuk bertindak balas dengan senaman yang anda lakukan. Lakukan semuanya step-by-step. Paling penting, anda harus konsisten dan teruskan usaha.

 

Entri: Tini Lorna Lim