Medofu Kitchen

Log In

Semasa latihan bebanan, salah satu perkara yang kita tidak sedari ialah pergerakan tubuh semasa kita melakukannya. Pergerakan yang tidak diperlukan ini akan menjejaskan matlamat senaman tersebut.

 

Apabila mengangkat bebanan, anda hanya perlu fokus kepada pengasingan otot tertentu. Apabila anda menghayun bebanan, secara tidak langsung anda menggunakan momentum untuk mengangkatnya. Jadi tenaga yang sepatutnya anda tumpukan kepada satu otot, telah tersebar ke otot-otot yang lain.

 

Sebab itulah mereka yang berdengus, membongkokkan atau melengkungkan badan serta menjatuhkan bebanan sebenarnya bukan sahaja membazirkan tenaga, malahan memudaratkan juga. Dengan mengurangkan sedikit sahaja berat bebanan, kesilapan ini dapat dielakkan.

 

Mungkin cara ini boleh membantu anda:

 

Sandarkan belakang anda ke dinding atau tiang semasa mengangkat beban. Cuba dahulu dengan bicep curl untuk memahami apa yang dimaksudkan. Anda akan lihat betapa susahnya mengangkat beban tanpa bantuan otot belakang dan otot teras.

 

Oleh itu, kekalkan fokus yang sama semasa melakukan latihan bebanan yang lain. Sentiasa tegakkan badan, buka bahu, angkat dada, tegangkan abdomen, kepala dan leher dalam keadaan relax tetapi jangan menunduk. Mengekalkan postur yang betul bukan sahaja dapat mengelakkan kecederaan tetapi ia juga membantu anda menentukan berat yang sesuai dengan tahap kekuatan semasa. Sekiranya tidak dapat mengekalkan postur yang baik semasa mengangkat beban, ia bermakna anda perlu turunkan berat bebanan.

 

Entri: Tini Lorna Lim