Sebut sahaja tentang senaman ibu mengandung, kita akan melihat berbagai reaksi. Ada yang takut, bimbang, tidak kurang juga yang skeptikal. Lebih-lebih lagi apabila bercakap mengenai senaman otot teras. Benda pertama yang akan bermain di fikiran ialah, keselamatan bayi dalam kandungan. Namun, Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri menyarankan senaman semasa mengandung. Menurut Garis Panduan Aktiviti Fizikal Malaysia (2017) terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia, aktiviti fizikal bukan sahaja tidak membawa risiko besar terhadap kandungan, malah ia mengurangkan komplikasi ketika melahirkan anak. Berikut adalah sedikit petikan daripada garis panduan tersebut;
“Wanita yang sedang mengandung dan dalam tempoh berpantang perlu melakukan aktiviti fizikal untuk kebaikan tubuh badan dalam jangka masa panjang. Terdapat banyak bukti kukuh yang menunjukkan bahawa amalan aktiviti fizikal ketika mengandung tidak mendatangkan risiko yang besar pada bayi yang akan dilahirkan. Sebaliknya aktiviti fizikal membantu untuk mengurangkan risiko komplikasi ketika melahirkan anak seperti preeclampsia dan gestational diabetes serta mengurangkan tempoh proses melahirkan anak.”
Terdapat juga kebimbangan bahawa senaman otot teras semasa mengandung akan merosakkan otot ‘6-pack’, meningkatkan risiko diastasis recti dan tidak efektif. Namun, kita harus ingat bahawa otot teras bukan otot ‘6-pack’ sahaja. Ia merangkumi beberapa otot yang berlainan:
- Rectus Abdominis (otot 6-pack)
- Transverse Abdominis
- Internal & External Obliques
- Erector Spinae
Walaupun kita tidak boleh mengerjakan otot ‘6-pack’, kita masih boleh mengerjakan otot teras yang lain.
Kesemua otot teras bekerja sebagai satu unit untuk menyokong tulang belakang. Apabila kandungan semakin membesar, pelvis akan tertolak ke depan disebabkan oleh berat bayi yang bertambah. Jadi, si ibu akan cenderung untuk membongkok dan akhirnya membawa kepada masalah lordosis. Ini bukan sahaja menjejaskan postur, belakang pun akan jadi sakit.

Menurut American Congress of Obstetricians and Gynecologist, lebih daripada 60% wanita mengandung mengalami masalah sakit belakang. Namun, latihan kekuatan otot teras akan mengurangkan risiko tersebut. Otot teras yang kuat akan membantu mengembalikan tulang belakang ke posisi neutral dan memperbaiki postur tubuh. Video ringkas ini menampilkan senaman otot teras yang selamat bagi ibu mengandung dan disertakan dengan regangan ringan di penghujungnya. Walau bagaimanapun, rujuk kepada doktor terlebih dahulu bagi memastikan tahap kesihatan anda sebelum memulakan apa-apa senaman prenatal.
Entri: Tini Lorna Lim