Medofu Kitchen

Log In

 

Mengapa kita kena minum air yang secukupnya? Setiap sel dalam tubuh kita mengandungi air, malah komponen paling banyak dalam tubuh kita ialah air. Jadi mestilah air sangat penting, bukan? Peranan air dalam memastikan kelancaran sistem tubuh termasuklah;

  • Membawa nutrien dari makanan ke sel-sel tubuh
  • Membawa bahan kumuh dari sel-sel tubuh ke ginjal
  • Berfungsi sebagai pelincir dalam sendi tulang
  • Mengekalkan suhu badan melalui proses perpeluhan

Walaupun kita faham mengenai kepentingan air, ramai di antara kita yang masih tak cukup air. Mereka yang aktif bersenam atau bekerja akan memerlukan air yang lebih banyak. Pengamal diet juga memerlukan air untuk mengekang rasa lapar dan mengelakkan kelesuan. Sekiranya anda kehilangan terlalu banyak air dan tidak menggantikannya semula, anda akan mengalami dehidrasi. Simptom-simptom seperti sakit kepala, kurang tumpuan serta kelesuan menandakan tahap dehidrasi anda berada di tahap yang membimbangkan. Tahap hidrasi yang baik akan meningkatkan stamina dan tenaga serta memastikan kelancaran sistem penghadaman.

 

Tips Mendapatkan Air Yang Secukupnya

  • Mengambil makanan yang mengandungi air seperti hidangan sup, tembikai, timun, oren dan sebagainya.
  • Minum segelas air sebelum makan.
  • Selang-selikan minuman manis (minuman bikarbonat, jus, kopi, teh) dengan segelas air kosong.
  • Ketika berada di restoran, minta segelas air kosong bersama-sama dengan minuman yang dipesan.
  • Letakkan botol air di atas meja anda atau mana-mana tempat yang mudah dilihat.
  • Apabila terasa lesu di tengah hari, jangan terus buat kopi. Minum air kosong.
  • Minum segelas air kosong sebelum, semasa dan selepas bersenam.
  • Apabila rasa sakit kepala, terus minum air. Mungkin ia tanda-tanda dehidrasi.
  • Tukarkan gelas di rumah kepada yang lebih besar.

Perlu diingatkan juga bahawa terdapat minuman tertentu yang boleh mengakibatkan dehidrasi seperti kopi dan minuman bergas. Selain itu, pastikan anda sentiasa berbekalkan botol air setiap kali anda ke mana-mana. Botol kecil pun tidak mengapa, lebih baik daripada tiada langsung.

 

Entri: Tini Lorna Lim