Posted on

Latihan Bebanan Untuk Wanita

Kesedaran kesihatan dan kecergasan kian meningkat dalam negara masa kini. Dahulunya, kita dapat lihat banyak lelaki sahaja yang datang ke gym. Tetapi kini, wanita juga turut membanjiri gym, hatta ada gym yang dibuka khas untuk wanita sahaja. Ini adalah petanda yang bagus!

 

Tetapi, sebelum para wanita ini mendaftarkan diri sebagai ahli gym, mereka sering bertanya berkaitan latihan bebanan dan wanita. Yang menjadi persoalan mereka adalah sepert:

  • Macam mana latihan bebanan untuk wanita?
  • Bolehkah wanita main besi macam lelaki?
  • Adakah wanita akan nampak seperti lelaki kalau main gym?

Soalan-soalan yang cukup common didengari dalam dunia fitness. Admin akan cuba bantu anda dengan soalan-soalan ini.

 

Kesan Latihan Bebanan Pada Wanita

Ramai ingat angkat besi hanyalah untuk bina otot dan sesuai dilakukan lelaki sahaja tetapi ini telah dibuktikan salah oleh ramai pengkaji di seluruh dunia. Sebelum itu, tahukah anda yang wanita lebih cenderung untuk mendapat osteoporosis iaitu kondisi tulang rapuh? Ia adalah benda yang terjadi kerana perubahan profil hormon apabila lanjut usia.

 

Melalui latihan bebanan, para wanita dapat merangsang otot mereka supaya menjadi lebih kuat dan tulang mereka menjadi lebih kukuh. Dua benda ini adalah amat penting untuk kualiti kehidupan seharian, lebih-lebih lagi yang aktif berkerja kerana mereka perlukan tenaga yang tinggi setiap hari. Latihan bebanan akan bantu mereka mencapai matlamat ini. Tak perlu lama, 45-60 minit untuk 1 sesi latihan pun sudah memadai.

 

Latihan yang dilakukan wanita sama sahaja dengan latihan lelaki. Maksudnya, program latihan di gym adalah serupa. Kalau lelaki boleh melakukan squat, bench press, dan deadlift, maka wanita juga patut lakukan yang sama. Perbezaan hanyalah pada bebanan yang digunakan. Secara semula jadi, pasti lelaki dapat gunakan bebanan yang lebih berat daripada perempuan. Tetapi, jangan terkejut sebab Admin pernah jumpa wanita yang deadlift 200kg, jauh lebih berat daripada kebanyakan lelaki boleh buat!

 

Soalan berkaitan samada wanita akan jadi berketak-ketak seperti lelaki, itu adalah mitos semata-mata kerana wanita tidak mampu membina otot sepert lelaki atas faktor profil hormon berbeza. Melainkan wanita itu mengambil hormon testosteron atau dilahirkan dengan profil hormon seperti lelaki, barulah dia boleh menyerupai lelaki. Wanita biasa tidak akan jadi berketak macam abang sado, jadi jangan risau!

 

Kalau anda ada sebarang persoalan yang ingin diajukan, maka jangan segan silu untuk berhubung dengan Admin. Jangan lupa juga untuk mendaftar diri sebagai pengguna di laman web Medofu kerana akan ada banyak lagi info-info menarik untuk dikongsikan bersama anda.

 

Entri: Aiman Radzi (@TheTherabeast)