Tentu ramai yang pernah mengalami rasa sakit di bahagian tepi abdomen semasa bersenam, terutamanya semasa aktiviti berlari dan berenang. Rasa sakit tersebut dikenali sebagai Exercise-Related Transient Abdominal Pain (ETAP). Namun secara umumnya ianya dipanggil sebagai ‘side stitch’ atau ‘side ache’. ETAP tiada kaitan dengan jantina atau BMI seseorang. Ia juga jarang berlaku kepada mereka yang berumur. Tetapi persoalan yang lebih penting adalah, mengapa ia boleh berlaku?
Sebenarnya tiada penjelasan khusus mengenai penyebab masalah tersebut. Namun terdapat beberapa teori yang meyakinkan. Para penyelidik percaya bahawa ia berhubung kait dengan apa yang kita makan sebelum bersenam.
Satu kajian melaporkan bahawa pengambilan jus buah-buahan jenis reconstituted atau minuman lain yang berkarbohidrat tinggi, samada sebelum atau selepas bersenam akan mencetuskan serangan ETAP. Walau bagaimanapun, simptom tersebut tidak berkaitan dengan jumlah makanan yang diambil.
Penjelasan lain pula menumpukan kepada regangan ligamen yang merentasi diaphragm dan organ-organ dalaman, khasnya organ hati. Pergerakan semasa berlari yang diikuti dengan kesilapan teknik pernafasan akan menyebabkan ligamen tersebut meregang. Semasa berlari, anda akan menghembus nafas setiap 2-4 langkah. Kebanyakan individu akan menghembus nafas sewaktu berpijak di kaki kiri, tetapi ada juga yang berpijak di kaki kanan.
Didapati bahawa mereka yang menghembus nafas ketika berpijak di kaki kanan lebih cenderung untuk mengalami ETAP. Mengapa? Menghembus nafas semasa berpijak di kaki kanan akan meletakkan lebih banyak tekanan pada organ hati (terletak di sebelah kanan abdomen). Ini kerana semasa hentakan kaki kanan, organ hati akan bergerak ke bawah (drop down) dan pada masa yang sama pula, diapragm akan mengendur (bergerak ke atas) semasa menghembus nafas. Dipercayai bahawa regangan yang berulang kali ini yang membawa kepada kekejangan diaphrgm.
Cara Mengatasi Side Stitches
Apabila kesakitan mulai terasa di bahagian tepi abdomen, hentikan senaman serta merta. Kemudian pegang sebelah kanan abdomen dan tekan ke atas sambil bernafas seperti biasa.
Cara lain untuk mengurangkan side stitch termasuklah:
- Lakukan regangan sebelum memulakan senaman. Angkat tangan kanan dan condongkan badan ke kiri sejauh yang boleh. Tahan posisi selama 30 saat. Kemudian angkat tangan kirir dan balas ke sebelah kanan pula.
- Sekiranya timbul rasa sakit semasa berlari, perlahankan langkah sehingga rasa sakit berkurangan.
- Urut atau tekan bahagian yang sakit. Membongkok ke depan untuk meregangkan diaphragm dan mengurangkan kesakitan.
- Sekiranya rasa sakit berterusan, rujuk doktor dengan segera.
Entri: Tini Lorna Lim