Posted on

Mengapa Mesti Buat Cooling Down?

Sesi menyejukkan badan (cooling down) kebiasaannya dilakukan selama 3-10 minit dan melibatkan pelbagai jenis regangan dan pergerakan ringan. Mungkin ada di antara kita  yang pernah skip sesi ini selepas bersenam, bukan? Walaupun kadangkala terasa malas atau tiada mood, mengapa kita mesti buat juga?

 

Baca:

 

Kadar denyutan jantung kembali ke normal

Apa sahaja bentuk senaman akan meningkatkan kadar denyutan jantung anda, lebih-lebih lagi latihan kardiovaskular. Apabila anda lakukan penyejukkan badan, anda sebenarnya membantu jantung untuk kembali ke tahap normal secara perlahan-lahan. Ini akan mengelakkan kesan sampingan seperti rasa pening atau pitam.

 

Memperlahankan kadar pernafasan

Apabila kadar denyutan jantung meningkat, anda akan tercungap-cungap, bukan? Ini bermakna jantung sedang bekerja keras dan tubuh anda sedang membakar lebih banyak kalori. Proses menyejukkan badan akan membantu menurunkan kadar pernafasan menjadi serentak dengan ritma jantung dan kembali ke tahap normal.

 

Mengurangkan sakit otot atau ‘sore’

Memang biasa jika rasa lenguh dan sakit pada otot selepas sesi senaman. Tetapi cooling down akan mengurangkan rasa lenguh tersebut dan otot akan lebih cepat pulih.

 

Cara anda menyejukkan badan adalah bergantung kepada bentuk senaman anda. Contohnya, untuk menyejukkan badan daripada aktiviti berjoging, anda perlu berjalan pantas selama 2-3 minit sebelum berjalan santai. Kemudian lakukan regangan pada keseluruhan tubuh untuk meningkatkan fleksibiliti sendi dan otot.

Sekiranya senaman anda lebih kepada latihan kekuatan (strength training), sesi menyejukkan badan harus fokus kepada sendi-sendi yang terlibat semasa anda bersenam. Contohnya, selepas latihan kekuatan untuk otot biceps dan triceps, aktiviti cool down akan melibatkan regangan pada otot-otot ini.

 

Entri: Tini Lorna Lim