Posted on

Tingkatkan Metabolisme Di Mana Sahaja!

 

Terdapat beberapa perkara mengenai metabolisme yang tidak boleh diubah seperti umur, jantina serta latar belakang perubatan anda. Namun ia tidak bermakna kadar metabolisme tidak boleh dipercepatkan. Terdapat banyak cara untuk meningkatkan metabolisme dan ianya tidak terhad kepada sesi senaman dan pemakanan sahaja. Anda perlu ubah gaya hidup anda secara keseluruhannya. Malah, ia tidak memerlukan satu sen pun melainkan daya usaha anda sahaja. Lebih baik lagi, anda boleh melakukannya di mana sahaja anda berada. Tetapi, di mana dan bagaimana?

 

Ketika bangun pagi

Cara anda memulakan hari akan memainkan peranan yang besar terhadap kadar metabolisme. Dapatkan tidur yang cukup agar anda menjadi lebih bertenaga dan kekal aktif sepanjang hari. Anda juga boleh memulakan hari anda dengan rutin yang sihat seperti membuat regangan pagi untuk membakar lebih kalori dan merangsang mood yang positif. Anda boleh mencuba rutin regangan pagi ini. Tidak mengambil masa yang lama pun, 5 minit sahaja. Selamat mencuba!

 

Di tempat kerja

Oleh kerana anda menghabiskan masa yang lama di tempat kerja, sayang sekali jika anda tidak melakukan apa-apa yang boleh membantu mempercepatkan kadar metabolisme. Cuba lakukan regangan atau senaman ringan di masa rehat atau coffee break anda. Semasa makan tengah hari pula, banyakkan pengambilan protein yang turut membantu mempercepat metabolisme.

 

Di rumah

Untuk mempercepatkan metabolisme, anda harus mengubah tahap aktiviti harian anda. Lakukan apa sahaja untuk kekal aktif. Tahukah anda bahawa membersihkan rumah mampu membakar sehingga 400 kalori? Tidak semestinya anda harus membuat kerja-kerja rumah sahaja. Yang penting anda sentiasa aktif di rumah, walaupun semasa menonton TV. Tidak perlu beli pil-pil untuk merangsang metabolisme (kecualilah atas nasihat doktor) kerana anda sebenarnya boleh membantu diri sendiri dengan melakukan perubahan.

 

Entri: Tini Lorna Lim