Tidak dinafikan bahawa latihan beban (weightlifting) membantu menguatkan otot. Tetapi adakah ia masih releven bagi golongan senior? Bolehkah mereka mengangkat berat? Adakah struktur otot masih boleh diperbaiki di usia begini? Jawapannya ialah, ya.
Satu kajian yang diterbitkan oleh American Journal of Medicine telah dijalankan ke atas sekumpulan senior yang mengangkat beban selama 18-20 minggu. Mereka mendapati bahawa terdapat peningkatan jisim otot dalam purata 2.42 paun (1.1 kg) dan kekuatan otot sebanyak 25-30%. Oleh sebab purata pertumbuhan otot bagi golongan dewasa adalah 1.5-5 paun (0.7-2.3 kg), hasil kajian tersebut boleh dikatakan agak memberangsangkan.
Selain daripada kajian di atas, mari lihat 2 lagi sebab mengapa golongan senior boleh dan perlu mengangkat berat.
Menjamin Kesihatan Otak
Latihan beban boleh mengelakkan kemerosotan daya kognitif dalam kalangan senior menerusi mekanisme yang melibatkan grow factor 1 dan homocysteine. Latihan beban juga membantu memperlahankan perkembangan sarcopenia. Penyakit ini merujuk kepada pengurangan jisim dan kekuatan otot yang menjadi sebahagian daripada proses penuaan.
Dengan menambah jisim dan kekuatan otot, daya keseimbangan, gaya jalan (gait) dan tahap keupayaan dalam menjalani rutin seharian juga boleh diperbaiki. Hal ini seterusnya akan mengurangkan risiko terjatuh, tercedera dan kehilangan upaya. Program senaman bagi golongan senior digalakkan untuk menggabungkan senaman berasaskan aerobik dan latihan bebanan untuk kesihatan mental dan jasmani.
Meningkatkan Kualiti Kehidupan
Latihan bebanan yang dilakukan secara berkala (contohnya 2-3 kali seminggu) bukan sahaja membina kekuatan dan jisim otot, tetapi ia juga akan mengekalkan ketumpatan tulang. Tambahan lagi, latihan bebanan juga akan mengurangkan risiko osteoporosis serta beberapa lagi penyakit serius seperti sakit belakang, penyakit jantung, artritis, diabetes jenis 2 dan obesiti. Di samping itu, ia juga membantu memperbaiki kualiti tidur serta mengurangkan simptom kemurungan.
Akhir kata:
Mungkin ada di antara anda yang masih skeptikal mengenai manfaat latihan bebanan atau strength training kepada golongan senior. Mungkin terlalu ekstrem? Atau takut kepada kecederaan? Atau tak biasa dengar? Biasanya golongan senior cenderung untuk melibatkan diri dengan aktiviti yang berimpak rendah seperti berjalan kaki dan Tai Chi. Kedua-duanya pun bagus tetapi jika digabungkan dengan latihan bebanan, lagi bagus. Untuk mengelakkan kecederaan semasa latihan bebanan, panduan dan langkah berjaga-jaga harus dititikberatkan bagi menjamin keselamatan. Lebih baik lagi jika program senaman tersebut dilakukan di bawah bimbingan pakar.
Entri: Tini Lorna Lim